Getaran News- CSR #Burger Jepun HMD

Getaran News- CSR #Burger Jepun HMD

Sumbangan Dihargai, Penghantar Makanan Terima Pek Bantuan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,000 burger percuma diagihkan kepada penghantar makanan di sekitar Lembah Klang, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada mereka.

Inisiatif berkenaan dilancarkan Hamadaya bersama dua jenama burger tempatan, Kaw Kaw Burgers dan Smashed yang mencipta burger Jepun edisi istimewa menggunakan ramuan halal.

Naib Presiden Pemasaran Hamadaya, Ho LiLi berkata, semua pek bantuan yang turut mengandungi minuman percuma itu diedarkan sejak enam hari lalu.

Menurut beliau, inisiatif yang dikenali sebagai #BurgerJepunHMD tersebut dimulakan untuk membantu menaikkan semangat golongan penghantar makanan yang bekerja siang dan malam tanpa mengira hujan atau panas, bagi memastikan orang ramai dapat menikmati juadah di rumah dengan selesa dan tepat pada masanya.

“#BurgerJepunHMD ini diharapkan menjadi satu ikhtiar yang bermakna dan memberi kesan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penghantar makanan di luar sana,” katanya di sini hari ini.

Ho LiLi berkata, kerjasama dengan dua jenama burger tempatan ini membantu menjayakan inisiatif sosial korporat syarikat berkenaan.

“Projek ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua rakan kongsi yang bertanggungjawab menyediakan 1,000 burger istimewa edisi unik menggunakan dua ramuan yang pernah memenangi anugerah iaitu Kicap Jepun Perasa Hamadaya dan Sos Pati Tiram.

“Mereka turut membantu menyediakan tempat pengedaran 1,000 pek bantuan tersebut di sekitar Lembah Klang selama enam hari,” katanya.

Burger percuma disediakan untuk diagihkan kepada 1,000 penghantar makanan di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, pengasas dan pemilik Kaw Kaw Burger, Mohd Faizul Baharudin  berkata, pihak mereka gembira dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif tersebut.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Hamadaya dalam tanggungjawab korporat ini bagi mengiktiraf sumbangan penghantar makanan yang menjadi elemen teramat penting dalam hidup sepanjang negara berdepan ancaman pandemik berkenaan.

“Kami percaya dengan inisiatif ini, mereka akan rasa lebih dihargai atas usaha mereka,” katanya.

Turut berterima kasih kepada Hamadaya, pengasas dan pemilik Smashed, Naeem Nasir bersyukur kerana diberi peluang untuk membantu dan menyokong golongan penghantar makanan ini.

“Saya amat gembira apabila dapat turut serta dalam kerjasama dengan Hamadaya ini dan saya rasa ia satu usaha yang hebat untuk meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan penghantar makanan kepada kita semua,” katanya.

Ho LiLi menambah, usaha Hamadaya itu diharapkan menjadi inspirasi kepada organisasi dan semua agensi kerajaan untuk lebih prihatin dan cakna terhadap golongan ini.

“Hamadaya akan meneruskan usaha ini menerusi satu lagi fasa agihan sebaik sahaja prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membenarkan kami berbuat demikian.

“Kami berharap lebih ramai rakan korporat akan menunjukkan minat menjayakan usaha ini,” katanya. – Getaran, 25 Jun 2021

Source: https://www.getaran.my/artikel/semasa/6924/sumbangan-dihargai-penghantar-makanan-terima-pek-bantuan